Pages

Daihatsu Mira Gino L700

Gino


MODEL Daihatsu di Malaysia begitu popular dalam kalangan peminat tegar jentera kompak. Di negara kita, mereka yang sangat menggilai model-model yang dihasilkan oleh Daihatsu kebanyakannya mengilhamkan idea mereka ke atas model-model jentera keluaran tempatan yang dihasilkan oleh Perodua.

Paparan kali ini memaparkan tentang sebuah jentera asli keluaran Daihatsu iaitu model Mira Gino L700 yang telah mendapat pengubahsuaian sangat ekstrem bagi tujuan perlumbaan Siapa sangka, jentera kecil ini mampu mencatatkan masa yang sangat baik  di Litar Antarabangsa Sepang. Namun ini lah hakikatnya! Jentera Daihatsu Mira Gino L700 ini telah mendapat sentuhan ajaib serta talaan yang sangat sempurna dari pihak RAB Garage.

Pada asasnya, jentera ini didatangkan dengan enjin berkod EF-Det yang bersesaran 660cc sebelum digantikan dengan enjin K3-Vet 1.3 liter. Enjin baharu yang dipasangkan ini mempunyai lebih kuasa yang dimahukan oleh pihak RAB Garage dalam menghasilkan sebuah jentera bagi tujuan perlumbaan. Kepala silinder 1.5 yang digunakan pada enjin ini telah melalui proses ‘port n polish’ untuk memberi lebih kelegaan terhadap udara yang keluar dan masuk ke dalam ruangan kebuk pembakaran. 

Petrol dari tangki utama akan di pam oleh pam bahan api Walbro yang ternyata tidak menghampakan ramai penggunanya di luar sana terus ke pelaras berjenama Works seterusnya ke ‘fuel return’ rekaan kustom. Sistem penyejukan enjin ini mendapat bantuan daripada penggunaan unit radiator aloi yang dipasangkan di bahagian hadapan. Udara yang masuk ke dalam ruangan enjin pula disejukkan oleh intercooler Mitshimoto yang diletakkan pada bahagian gril hadapan. Sistem perpaipannya pula menggunakan paip keluli tahan karat FMIC. Di samping itu, pemilik turut menggunakan hos Samco Sport bagi tujuan ketahanan lebih tinggi pada setiap sambungan peralatan pada enjin. 

Kuasa yang dihasilkan seterusnya dihantar ke kotak gear K3 LSD lengkap dengan final 4.6 ke bahagian roda. Prestasi yang dihasilkan oleh enjin tersebut turut dibantu dengan penggunaan unit ECU dari E-Manage yang akan memastikan perjalanan enjin dapat dipantau serta diuruskan mengikut kehendak penalanya.

Sebuah jentera yang digunakan bagi perlumbaan haruslah memiliki tahap kestabilan yang cekap serta suspensi yang akan memastikan jentera ini tidak terganggu prestasinya ketika sedang didesak kuasanya. Jentera ini telah dilengkapi dengan ‘roll cage’ lengkap di bahagian dalamnya. Topang bar Ultra Racing pula dipasang di bahagian ruangan enjin bagi memegang kukuh casis hadapan. Set penyerap hentak boleh laras GReddy PS Compact telah menjadi pilihan untuk keseluruhan penjuru jentera ini. Tahap pengendalian jentera menjadi lebih baik dengan penggunaan suspensi yang terbaik bagi sesebuah jentera kompak seperti ini. Untuk kuasa pemberhentian yang cekap dan mantap, jentera ini telah dipasangkan dengan set lengkap brek YRV dipadankan dengan pelapik brek berketahanan pada suhu yang tinggi. 

Ruang dalaman jentera ini kelihatan ringkas sahaja. Tempat duduk Recaro dipasangkan di bahagian hadapan manakala di atas papan pemuka dipasangkan meter EBC Blitz dan meter RPM Auto Gauge. Kit badan asal Mira Gino dua  pintu ini masih lagi dikekalkan ditambah pula dengan pemakaian rim Volk Racing TE37 berukuran 15 inci serta dibaluti tayar Toyo Proxes R888 keseluruhannya. Kelihatan juga jentera ini dipasangkan dengan cermin sisi Toron CF serta spoiler GT GG. 

Tahniah kepada pihak RAB Garage serta Protouch Workshop kerana gabungan mereka berjaya membina sebuah mesin perlumbaan yang sangat mantap!




Admin

No comments:

Post a Comment