Pages

Iflix, Digi sedia TV internet

iflix

Iflix, peneraju perkhidmatan televisyen internet di Asia Tenggara, menjalin kerjasama dengan Digi Telecommunication Sdn Bhd (Digi) bagi menyediakan perkhidmatan hiburan berkenaan kepada lebih 11 juta pelanggan syarikat telekomunikasi itu. 

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif iflix Malaysia, Azran Osman-Rani, berkata pihaknya komited untuk menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia bagi membolehkan rakyat mengakses rancangan televisyen terbaik dunia dan filem pada bila-bila masa serta di mana saja. 

"Kerjasama dengan Digi membawa dua syarikat ini bersama-sama kepada wawasan yang sama dan memberi tumpuan terhadap usaha inovatif untuk mewujudkan pengalaman hebat pada peranti mudah alih dalam kalangan rakyat," katanya pada pelancaran kerjasama strategik dengan Digi di Petaling Jaya, semalam. 

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Pemasaran Digi, Christian Thrane. Sementara itu, Thrane berkata, syarikat itu terus menerajui industri telekomunikasi di negara ini dengan menawarkan produk dan perkhidmatan inovatif. Katanya, ia termasuk membina persekitaran internet mudah alih yang unggul dan pengalaman digital berkualiti tinggi kepada lebih 11 juta pelanggan di seluruh negara. 

Menerusi kerjasama itu, pelanggan Digi juga boleh membayar langganan iflix menggunakan bil pasca bayar atau kredit prabayar, sekali gus tidak perlu menggunakan kad kredit. "Pelanggan Digi mempunyai tempoh 60 hari untuk mencuba perkhidmatan baharu ini tanpa caj yang mana mereka boleh nikmati ketika melayari 4G berkelajuan tinggi LTE Digi dan rangkaian 3G. 

"Selepas 60 hari, kita benarkan pelanggan untuk teruskan langganan iflix bulanan dengan tambahan kuota data internet 1G secara percuma setiap bulan bagi melayari kandungan iflix sehingga 31 Mac 2016," katanya. Mengikut perjanjian itu, pelanggan Digi kini boleh melanggan iflix secara bulanan pada harga RM10 atau RM8 sebulan bagi langganan setahun untuk akaun pasca bayar atau prabayar. 

Setiap langganan membolehkan pengguna mengakses perkhidmatan berkenaan mengguna pakai lima peranti termasuk telefon mudah alih, tablet, komputer dan televisyen. Pengguna ditawarkan akses hiburan tanpa had sehingga 10,000 jam dengan harga bulanan yang rendah.





Admin

No comments:

Post a Comment